Misi SAR: 50 anggota SMART berlepas ke Myanmar

PETALING JAYA: Seramai 50 anggota dan pegawai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Naypyidaw, Myanmar pagi tadi bagi melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, misi itu diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Wisma Putra, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pasukan yang diketuai komander kontinjen Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1), Mohamad Hafiezul Abdul Halim terdiri daripada 16 wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (13) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (21).

“Mereka akan membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan paling terjejas akibat bencana ini.

“Saya yakin pengalaman, kepakaran dan semangat tinggi yang dimiliki oleh pasukan SMART akan memberi impak besar dalam usaha menyelamatkan mangsa bencana ini,” katanya dalam satu kenyataan sambil mendoakan perjalanan misi tersebut selamat dan berkesan.

Tambahnya, misi itu bukan sekadar bantuan, tetapi satu amanah kemanusiaan yang mendesak dan perlu disegerakan demi menyelamatkan seberapa banyak nyawa yang mungkin, terutama dalam tempoh 72 jam pertama yang amat kritikal.

Ia susulan situasi di Myanmar masih kritikal dengan lebih 1,600 nyawa terkorban dan ramai lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan, serta kemusnahan besar akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada Jumaat lalu.

“Malaysia akan terus memainkan peranan dalam membantu negara-negara yang memerlukan, selaras dengan semangat #1ASEAN1Response,” katanya lagi.

Dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pasukan di bawah NADMA itu bersama peralatan SAR termasuk dua unit trak lima tan dan sebuah pacuan empat roda, berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang pada pukul 9.30 dan 10 pagi tadi.

Sehingga semalam, jumlah korban bencana itu di Myanmar mencecah hampir 2,000 orang selain ribuan cedera dan ratusan lagi masih hilang.

Anda Mungkin Berminat