‘Miskin Tegar Mesti Ditamat, Bukan Ikut Kaum’ – Anwar

PARLIMEN: Usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar tidak akan berpaksikan kaum, sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pendekatan itu turut mengambil kira masyarakat India yang dikenal pasti antara kelompok paling terkesan dan akan terus menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar.

“Dalam kerangka Ekonomi Madani, pemusatan kita ialah menoktahkan kemiskinan tegar.

“Rekod disediakan setiap tahun, diselaraskan bersama kerajaan negeri dan daerah,” katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan daripada Ganabatirau Veraman (PH-Klang) berhubung garis panduan khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi membantu masyarakat India keluar daripada belenggu kemiskinan, Anwar menolak tanggapan bahawa golongan tersebut dipinggirkan.

“Bila kita sebut, seolah-olah ada peminggiran masyarakat India. Itu yang saya tidak setuju.

“Memang jumlah miskin dalam kalangan Melayu Bumiputera tinggi kerana majoriti penduduk negara ini Melayu tetapi ada juga kelompok India yang relatif lebih miskin dan itu tetap menjadi keutamaan,” tegas beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa program latihan seperti kejuruteraan penerbangan yang dijalankan bersama syarikat swasta mempunyai senarai peserta yang boleh disemak semula, sebagai langkah pemantauan dan penambahbaikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menepis dakwaan bahawa beliau pernah berjanji untuk menoktahkan kemiskinan secara keseluruhan.

“Saya tidak pernah sebut menoktahkan kemiskinan tetapi menoktahkan kemiskinan tegar.

“Dengarlah betul-betul. Ini yang kita mampu pastikan golongan fakir miskin yang tidak cukup makan, minum, pakaian dan perumahan mendapat pembelaan.

“Kemiskinan itu relatif tetapi kemiskinan tegar boleh dikenal pasti dan kita ada jadual data yang tepat,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat