Miss Universe Organization Nafi Penganjuran Majlis Makan Malam Istimewa, Bual Bicara

BANGKOK: Miss Universe Organization (MUO) menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka dalam penganjuran acara yang tular di media sosial dikenali sebagai ‘Special Dinner & Talk Show’ (Majlis Makan Malam Istimewa & Bual Bicara), yang menggunakan nama dan penjenamaan Miss Universe tanpa kebenaran.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan serentak dari New York dan Bangkok pada Isnin, MUO berkata, acara berkenaan tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak mereka dan sebarang penggunaan nama, logo atau elemen penjenamaan Miss Universe tanpa kebenaran bertulis merupakan pelanggaran hak harta intelek serta mencemarkan integriti jenama.

“Aktiviti ini tidak pernah diluluskan oleh pihak kami. Sebarang penggunaan nama atau penjenamaan Miss Universe tanpa kebenaran adalah satu pelanggaran dan kami memandangnya dengan serius,” katanya.

MUO turut memberi amaran bahawa sebarang bahan promosi, pertandingan, peraduan, undian atau inisiatif lain yang dikaitkan dengan acara tersebut dan kini berlegar atas talian adalah tidak sah serta berpotensi mengelirukan orang awam.

“Inisiatif dan promosi yang kini tular tidak mencerminkan nilai, operasi dan standard Miss Universe Organization.

“Ia berpotensi mengelirukan peminat serta menjejaskan integriti jenama kami,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah perlindungan, MUO berkata, mereka berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu, syarikat atau pihak yang didapati menyalahgunakan harta intelek dan aset jenama Miss Universe termasuk nama, logo, imej serta penjenamaan rasmi acara.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi hak dan imej Miss Universe serta bagi memastikan keselamatan dan kepercayaan komuniti global kami,” tegas MUO.

Sebagai pemegang autoriti global terhadap jenama Miss Universe, organisasi itu menekankan komitmennya untuk mengekalkan standard ketelusan, profesionalisme dan integriti di setiap negara operasi.

MUO turut menegaskan peranan mereka dalam melindungi wakil negara peserta, rakan kerjasama, penaja dan orang awam daripada sebarang aktiviti yang mengelirukan.

Anda Mungkin Berminat