MITI Jelas Perbezaan Data Pelaburan MIDA Dan DOSM

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan angka pelaburan yang diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tidak wajar dibandingkan kerana ia mengukur perkara berbeza.

Katanya, data Foreign Investment (FI) yang diluluskan oleh MIDA mewakili cadangan projek dengan ekuiti asing yang mendapat lesen atau insentif kerajaan, manakala Foreign Direct Investment (FDI) oleh DOSM pula merujuk kepada aliran masuk dan keluar pelaburan melalui urus niaga kewangan seperti ekuiti, dividen dilaburkan semula serta instrumen hutang.

“Perbandingan antara angka MIDA dan DOSM ibarat membandingkan epal dan oren,” katanya.

Perbandingan angka pelaburan sering menimbulkan kekeliruan awam.

Data MIDA mengukur cadangan pelaburan yang diluluskan termasuk CAPEX dan OPEX, manakala data DOSM mengukur FDI bersih dalam bentuk urus niaga kewangan, dividen dilaburkan semula dan instrumen hutang.

Isu ini menjadi perhatian selepas ada pihak mendakwa kerajaan tidak telus kerana angka MIDA dan DOSM dilihat bercanggah.

Zafrul juga berkata, jumlah pelaburan diluluskan Malaysia bagi separuh pertama 2025 meningkat 18.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, kepada RM190.3 bilion.

Jelasnya, daripada jumlah itu, pelaburan asing menyumbang kira-kira 56 peratus melibatkan 3,011 projek yang dijangka mewujudkan hampir 90,000 peluang pekerjaan baharu.

“Maklumat ini penting kerana ia membolehkan sektor awam dan swasta mengukur daya saing Malaysia dalam menarik pelaburan berbanding negara serantau,” katanya.

Anda Mungkin Berminat