MITI Perkukuh Daya Tarikan Malaysia Sebagai Hab Pelaburan ASEAN

PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan neutral dan berdaya tahan di rantau ini menerusi sesi libat urus bersama pengurus dana terkemuka dunia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pertemuan itu berlangsung sempena Persidangan Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia dan Macquarie.

Antara dana pelaburan yang hadir ialah GIC, UBS dan Manulife IM yang memberi tumpuan kepada strategi Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi khususnya dalam sektor strategik.

“Kita tonjolkan perkembangan positif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) serta Pelan Induk Semikonduktor Kebangsaan (NSS), yang membuktikan komitmen kerajaan dalam melonjakkan daya saing,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, setakat ini Malaysia telah berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM63 bilion dalam sektor semikonduktor, mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan.

“Dasar yang jelas dan kestabilan politik menjadi faktor utama yang terus menjamin keyakinan para pelabur,” jelas beliau lagi.

MITI optimis Malaysia mampu menjadi destinasi pilihan pelabur dengan memperkukuh kerjasama serantau, selain memastikan ekosistem perindustrian negara kekal kompetitif.

NIMP 2030 dan NSS merupakan pelan strategik kerajaan dalam mempercepatkan transformasi industri berteknologi tinggi, selari dengan agenda MADANI untuk menjadikan Malaysia pemain utama dalam rantaian bekalan global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat