MITI Terima Mandat Penuh Kabinet, Tentu Pendirian Malaysia Dalam Perjanjian ART

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diberi kepercayaan sepenuhnya oleh Jemaah Menteri untuk memuktamadkan pendirian Malaysia berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) bersama Amerika Syarikat (AS).

Perjanjian itu dimeterai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut kenyataan media oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), keputusan Jemaah Menteri itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap keseluruhan peruntukan perjanjian, merangkumi aspek ekonomi, politik dan perundangan.

Tujuannya adalah untuk memastikan pelaksanaan ART tidak menjejaskan kepentingan nasional serta kedaulatan negara.

“Kerajaan meneliti setiap klausa dalam perjanjian ini secara menyeluruh bagi memastikan komitmen yang digariskan berpaksikan dasar perdagangan Malaysia dan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya.

Perjanjian ART merupakan inisiatif dua hala antara Malaysia dan AS yang bertujuan mengurangkan tarif perdagangan serta memperkukuh kerjasama dalam sektor barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Menurut AGC, rundingan bagi pihak Malaysia diketuai oleh MITI, manakala AS pula diwakili oleh Office of the United States Trade Representative (USTR).

Setiap keputusan yang dibuat, jelas AGC, telah mengambil kira pandangan kementerian dan agensi berkaitan yang terlibat dalam proses rundingan, selaras dengan dasar dan keutamaan nasional.

“Artikel 7.2 ART memperuntukkan bahawa Perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas pihak-pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik yang berkaitan telah selesai dilaksanakan.

“Pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah Perjanjian ini oleh Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai,” ujarnya.

ART turut memperuntukkan mekanisme rundingan dengan suci hati antara Malaysia dan Amerika Syarikat bagi menangani isu pelaksanaan perjanjian, sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang satu lagi, seperti yang digariskan dalam Artikel 7.4(2) ART.

Lebih penting, Malaysia juga mempunyai hak mutlak untuk menamatkan perjanjian ini pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis kepada AS tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada pihak Amerika, selaras dengan Artikel 7.5 ART.

“Semua perlindungan ini bertujuan untuk mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat