KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengingatkan pihak tertentu agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru mengenai prestasi pelaburan negara hanya berdasarkan angka FDI suku tahunan.
Kenyataan ini dikeluarkan Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan merujuk kepada laporan DOSM yang merekodkan aliran masuk bersih FDI sebanyak RM1.6 bilion pada suku kedua 2025, jauh lebih rendah daripada RM15.6 bilion pada suku pertama tahun ini.
“Penurunan itu antara lain berpunca daripada penyaluran dividen yang lebih tinggi kepada syarikat induk di luar negara.
“Fenomena ini biasa berlaku dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia dan tidak menjejaskan rancangan pelabur asing yang sedang mengembangkan operasi mereka,” jelasnya.
Katanya, FDI Malaysia pada 2024 mencecah RM51.5 bilion, meningkat berbanding RM38.6 bilion pada 2023, membuktikan keyakinan pelabur kekal kukuh.
FDI Malaysia sering mengalami turun naik suku tahunan kerana faktor pembayaran balik dividen, pinjaman intra-syarikat dan suntikan ekuiti besar yang tidak konsisten.
Walaupun aliran masuk bersih FDI pada suku kedua 2025 hanya RM1.6 bilion, jumlah tahunan FDI pada 2024 meningkat kepada RM51.5 bilion berbanding RM38.6 bilion pada 2023.
Trend jangka panjang ini menurut MITI lebih relevan untuk menilai daya tarikan pelaburan negara.