Oleh: Kamilia Ali
PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) membuka permohonan Malaysian Indian Transformative Agri Programme (MITAP) bagi tahun 2024/25.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, program ini bertujuan memberikan pengetahuan, kemahiran serta dana untuk membangunkan usahawan tani masyarakat Malaysia India.
“Program yang dikendalikan dengan kerjasama MARDI Corporation Sdn. Bhd menyediakan ekosistem bagi penglibatan dalam sektor pertanian.
“Ia dilihat sebagai berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan tani masyarakat Malaysia India yang kompetitif dan mampu berdaya saing dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar,” jelasnya.
Katanya, dua program yang dibahagikan untuk permohonan iaitu Program Bantuan Geran Pembangunan Pertanian dan Program Usahawan Tani Muda.
“Seramai 100 peserta yang memenuhi syarat kelayakan akan menyertai Seminar Business Model Canvas (BMC) selama dua hari dan 70 peserta akan dikenal pasti bagi menyertai Kursus Teknikal Pertanian selama lima hari.
“Geran Pembangunan Pertanian akan diberikan sehingga RM,30,000 bagi tujuan pembangunan pertanian dan peserta akan dibimbing selain dipantau selama enam bulan oleh pihak MARDICorp,” katanya.
Kemudian, Program Usahawan Tani Muda pula menawarkan latihan pertanian selama 10 bulan dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 akan diberikan kepada peserta yang menjalani latihan dengan jayanya.
“Peserta akan diberikan tanah sewaan seluas satu ekar bagi tempoh selama enam bulan di negeri Selangor dan Johor untuk diusahakan dalam bidang pertanian pengeluaran makanan,” ujarnya.
Permohonan MITAP tahun 2024/25 ini dibuka bermula hari ini hingga 13 Februari 2025 dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi MITRA di talian 03-8886 6013 atau MARDICorp di talian 019-3497005.