KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan tahun ini meningkat kepada RM150 juta.
Langkah itu, katanya, bertujuan memperkasa serta membantu masyarakat India yang miskin dan terpinggir, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjamin kebelaan dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Justeru, Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan prinsip keadilan sosial yang menjamin kebelaan dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Konsep Malaysia MADANI yang kita dukung memberi penekanan terhadap nilai ihsan, keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat merentasi batas kaum dan agama,” katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama mahasiswa India di Universiti Malaya, di mana Anwar turut menekankan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan yang mampu menyatukan rakyat dan menolak politik perkauman sempit.
Dengan tambahan dana itu, MITRA dijangka dapat melaksanakan lebih banyak program pembangunan komuniti, pendidikan serta sokongan sosial bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat India di Malaysia.








