MKN Sokong ATM Laksana Latihan Ketenteraan Secara Tersusun, Selamat

PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menegaskan sokongan penuh terhadap komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan setiap latihan dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara profesional, terancang serta mematuhi garis panduan keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa, MKN memaklumkan bahawa pelaksanaan latihan ketenteraan tertakluk kepada prosedur kelulusan yang ketat serta penyelarasan bersama kementerian dan agensi berkaitan.

“Bagi kawasan latihan yang diwartakan mahupun tidak diwartakan, setiap permohonan perlu melalui proses kelulusan serta pengesahan oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar/Ketua Menteri serta agensi teknikal,” menurut kenyataan itu.

MKN berkata, semua prosedur operasi standard (SOP) akan terus diperkemas dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan latihan.

Menurutnya, penilaian pasca-latihan juga akan dijalankan untuk meneliti semula impak serta memastikan kerja-kerja pembaikan terhadap sebarang kerosakan dilakukan sewajarnya.

“Sidang MKN berpandangan bahawa kesiapsiagaan pertahanan merupakan elemen penting dalam memastikan kedaulatan, keselamatan serta kepentingan strategik negara sentiasa terpelihara,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama, MKN menekankan keperluan menyeimbangkan antara operasi pertahanan dan sensitiviti setempat melalui pendekatan libat urus serta penyelarasan berterusan dengan semua pihak berkepentingan.

MKN berkata, latihan ketenteraan akan terus dilaksanakan dengan kerjasama rapat antara ATM, kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan aktiviti ketenteraan berjalan secara tersusun, selamat dan berhemah, selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

Anda Mungkin Berminat