KUALA LUMPUR: Malaysia menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Belanda bagi memperkukuh industri semikonduktor, sekali gus menegaskan kedudukan negara sebagai hab global dalam sektor berkenaan.
Perjanjian itu dimeterai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Belanda, Vincent Karremans, di The Hague semalam.
“Menerusi MoC ini, kita akan manfaatkan kepakaran Belanda dalam pembuatan cip termaju untuk meningkatkan rantaian nilai kita, terutamanya dalam pemasangan, pengujian, dan pembungkusan,” kata Tengku Zafrul dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kerjasama itu selaras dengan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang mensasarkan pelaburan RM500 bilion, melahirkan syarikat tempatan bernilai tinggi dan melatih 60,000 jurutera menjelang 2030.
“Bersama-sama kita akan membina ekosistem semikonduktor yang berdaya tahan demi manfaat kedua-dua negara dan ekonomi global,” katanya.
MITI dalam kenyataan berasingan berkata, MoC itu turut menekankan kepentingan mempelbagaikan rantaian bekalan global melalui Dialog Semikonduktor Dua Hala Tahunan, termasuk penyelarasan bakat, penyelidikan, pembangunan serta perkongsian teknologi.
Baca juga: