Model Baharu Penajaan JPA Berasaskan Merit Akademik

PUTRAJAYA :  Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan pelaksanaan model baharu penajaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP), yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2025.

Model penajaan baharu yang dikenali sebagai Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) itu akan menggantikan model terdahulu iaitu Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016, dengan pendekatan yang lebih berfokus kepada pencapaian akademik pelajar tajaan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan JPA, pelaksanaan model ini selari dengan prinsip Ihsan MADANI dan bertujuan memperkukuh pembangunan modal insan negara berasaskan kecemerlangan akademik dan sahsiah.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memperkasa sistem penajaan yang lebih adil dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi MADANI,” kata kenyataan itu.

Melalui PBU Akademik, kadar bayaran balik pinjaman ditentukan berdasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir pelajar, serta sama ada pengajian dilanjutkan atau tidak.

Berikut adalah struktur pembayaran semula yang ditetapkan:

  • PNGK 3.75–4.00 (tanpa pelanjutan): 5% bayaran balik
  • PNGK 3.50–3.74 (tanpa pelanjutan): 10% bayaran balik
  • PNGK 3.00–3.49 (tanpa pelanjutan): 15% bayaran balik
  • PNGK 3.00 ke atas (dengan pelanjutan): 20% bayaran balik
  • PNGK di bawah 3.00 atau gagal: 100% bayaran balik
    Kenyataan itu juga menggariskan, pelajar yang berjaya dilantik ke dalam perkhidmatan awam selaras dengan kelayakan mereka pula akan dikecualikan daripada membayar baki pinjaman.

“Bagi pelajar dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF), kerajaan menawarkan pengecualian penuh bayaran balik pinjaman sekiranya mereka menamatkan pengajian dan memenuhi kontrak perkhidmatan awam.

“Sebaliknya, kegagalan menyempurnakan pengajian atau kontrak akan menyebabkan pelajar perlu membayar balik pinjaman sepenuhnya,” kata kenyataan itu lagi.

PBU Akademik hanya terpakai kepada pelajar baharu bermula 1 Jun 2025. Bagaimanapun, pelajar sedia ada yang kini berada di bawah PBU 2016 akan diberikan pilihan untuk menukar kepada model baharu ini mulai 1 Januari 2026, secara berperingkat.

“Dalam pada itu, graduan yang telah tamat pengajian dan sedang membuat bayaran balik pinjaman di bawah sistem lama diminta menghentikan pembayaran bermula 1 Jun 2025 sehingga pilihan penukaran dibuka,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pihak JPA menerusi Portal Penajaan JPA: https://penajaan.jpa.gov.my dan E-mel rasmi: [email protected]

Pelaksanaan PBU Akademik ini dilihat sebagai salah satu usaha berterusan kerajaan dalam memastikan sistem penajaan lebih telus, berfokus dan memberikan ganjaran setimpal kepada pelajar cemerlang.

Anda Mungkin Berminat