MOF Kecuali Cukai Jualan Makanan Haiwan, Kacang Soya Mentah

PUTRAJAYA: Dalam usaha mengekang kenaikan harga makanan asas, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa makanan haiwan dan kacang soya mentah kini dikecualikan daripada Cukai Jualan (SST).

Langkah itu dilihat sebagai strategi fiskal penting untuk memastikan harga barangan asas seperti ayam, telur dan daging kekal stabil dan mampu milik bagi rakyat.

“Makanan haiwan serta kacang soya mentah telah dikecualikan daripada Cukai Jualan sebagai langkah untuk memastikan kestabilan harga barangan makanan asas seperti ayam, telur dan daging,” menurut kenyataan rasmi MOF.

Menurutnya, kacang soya merupakan bahan utama dalam penghasilan makanan haiwan dan sebelum ini dikenakan SST sebanyak lima peratus.

Tambahnya, pengecualian itu dijangka mengurangkan kos pengeluaran penternak, sekali gus memberi kesan langsung kepada harga runcit di pasaran.

MOF turut memaklumkan bahawa beberapa bahan mentah lain yang digunakan dalam formulasi makanan haiwan sedang diteliti untuk pengecualian selanjutnya termasuk melalui sesi libat urus bersama pemain industri.

Anda Mungkin Berminat