PARLIMEN | Lebih tiga per empat pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun masih belum mencapai tahap simpanan asas bagi menghadapi tempoh persaraan.
Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setakat 31 Ogos 2025, hanya 23.9 peratus daripada 13.51 juta ahli KWSP dalam lingkungan umur tersebut mencapai tahap simpanan asas yang ditetapkan sebanyak RM240,000 pada usia 55 tahun.
Beliau berkata, peratusan itu dipengaruhi oleh hakikat bahawa hampir separuh daripada keseluruhan ahli KWSP merupakan pencarum tidak aktif. Daripada jumlah keseluruhan 16.5 juta ahli, hanya 9 juta atau 55 peratus aktif mencarum dengan jumlah simpanan mencecah RM1.07 trilion.
“Bagi ahli aktif formal, sebanyak 38.8 peratus telah mencapai tahap simpanan asas, menunjukkan peningkatan positif berbanding 30.4 peratus pada 2022, selepas kesan pengeluaran dana semasa pandemik COVID-19 mula berkurangan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambah beliau, tahap ketidakcukupan simpanan persaraan dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti struktur gaji rendah, pengeluaran penuh pada umur 55 tahun yang tidak selaras dengan umur persaraan semasa, caruman tidak konsisten serta kadar celik kewangan yang masih rendah dalam kalangan rakyat.
Kementerian menegaskan, keadaan itu menuntut pendekatan bersepadu bagi memperkukuh kesedaran rakyat tentang kepentingan perancangan kewangan jangka panjang.
Bagi menangani cabaran ini, KWSP melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program celik kewangan, kempen kesedaran caruman sukarela dan usaha memperluas perlindungan kepada pekerja sektor tidak formal. Langkah itu diharap dapat meningkatkan bilangan ahli yang mencapai simpanan asas dalam tempoh lima tahun akan datang.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan simpanan KWSP kini mencecah RM1.31 trilion, meningkat 9.9 peratus berbanding RM1.20 trilion pada 2024 dan 20.8 peratus berbanding RM1.01 trilion pada 2023, mencerminkan pemulihan positif pasca pandemik dan pertumbuhan ekonomi domestik.
Baca juga: