Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Mana-mana individu yang menyalahgunakan subsidi bahan api Program BUDI95 akan dikenakan sekatan ke atas kad pengenalan dan dilucutkan kelayakan daripada terus menikmati manfaat itu.
Perkara itu ditegaskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataan media di laman rasmi Facebooknya pada lewat Isnin.
MOF berkata, tindakan itu dilaksanakan susulan penularan satu video di media sosial yang memaparkan seorang individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di sebuah stesen minyak.
Katanya, hasil siasatan mendapati individu terbabit adalah warga tempatan serta pemegang MyKad.
“Perbuatan itu jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan ini berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar serta berkesan.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api,” katanya.
MOF turut menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Kerajaan amat menghargai rakyat yang cakna dan menyalurkan aduan berhubung isu berkenaan.
“Orang ramai dialu-alukan untuk terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyaluran subsidi melalui Pusat Khidmat BUDI MADANI di talian 1300-88-9595 atau +603-2631 4595, selain emel kepada [email protected],” katanya.
Baca juga:








