MOF Tawar Kemudahan Peralihan SST Untuk Industri

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju memberikan kemudahan sementara kepada pihak industri sempena pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai 2025.

Langkah itu diambil sebagai respons terhadap maklum balas daripada penyedia perkhidmatan bercukai yang memerlukan masa untuk menaik taraf sistem masing-masing bagi tujuan pematuhan.

Dalam satu kenyataan, MOF memaklumkan bahawa penyata cukai dibenarkan untuk dikemukakan secara manual bagi tempoh bercukai antara 1 Julai hingga 30 September 2025.

“Kerajaan MADANI memahami keperluan penyedia perkhidmatan untuk menyesuaikan sistem masing-masing.

“Namun begitu, Cukai Perkhidmatan (CP) tetap wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama, MOF berkata, pengilang berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai.

“Mereka juga diberi kelonggaran untuk memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam proses pengilangan barang bercukai,” kata kenyataan itu.

MOF turut menjelaskan bahawa semua kelulusan pengecualian CJ yang diberikan sebelum tarikh tersebut oleh Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan kekal berkuat kuasa, tertakluk kepada syarat dan tempoh yang ditetapkan.

Anda Mungkin Berminat