Moga transisi demokrasi di Bangladesh terus berkembang – Nurul Izzah

DHAKA: Revolusi Julai 2024, suatu episod yang mencatatkan ketabahan luar biasa generasi muda Bangladesh dalam memperjuangkan reformasi, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata pengorbanan besar nyawa yang terkorban dan darah yang tertumpah di bawah kekejaman rejim lama, telah mengukir semangat perjuangan rakyat bagi menegakkan keadilan dan tata kelola demokratik.

“Dengan izin Allah SWT, saya berdoa agar proses transisi demokrasi di Bangladesh terus berkembang dengan jayanya – melakar kejayaan yang mampan dan bermakna.

“Semoga ia membuka lembaran baharu yang membawa kesejahteraan, keadilan dan harapan kepada rakyatnya yang telah lama mendambakan perubahan,” katanya yang juga menyampaikan ucaptama di Forum Antarabangsa anjuran Universiti Dhaka.

Turut hadir, penerima Hadiah Keamanan Nobel, Prof. Muhammad Yunus yang menyatakan aspirasi untuk membawa Bangladesh menyertai ASEAN merupakan cadangan yang bakal dikemukakan kepada Kerajaan Malaysia dalam lawatan rasmi beliau minggu hadapan.

Sebagai pengasas Grameen Bank, Yunus dikenali atas inisiatif mikro-kredit yang berjaya meningkatkan taraf hidup jutaan rakyat miskin melalui pendekatan kewangan inklusif.

Penganjuran forum ini mendapat sambutan positif daripada pemimpin politik termasuk Amir Jamaat dan kepimpinan Parti BNP, selain pejuang reformasi yang turut hadir memberi sokongan.

Forum Antarabangsa anjuran Universiti Dhaka bersama badan pemikir Research & Integrated Thought (RIT) berlangsung semalam bersempena memperingati Revolusi Julai 2024, yang memperlihatkan pengorbanan besar generasi muda Bangladesh dalam memperjuangkan reformasi dan keadilan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat