PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melanggar undang-undang buruh, susulan insiden mogok pemandu bas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, baru-baru ini.
Siasatan awal mendedahkan punca mogok berpunca daripada potongan gaji tanpa kebenaran, penamatan elaun khas tanpa notis dan kegagalan membayar kerja lebih masa (OT).
“KESUMA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melanggar undang-undang buruh khususnya apabila ia melibatkan kebajikan pekerja,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Namun, katanya, kebimbangan terhadap tindakan balas daripada majikan menyebabkan ramai pemandu enggan membuat aduan rasmi.
Difahamkan, pemantauan awal pada 22 Julai sekitar pukul 5 pagi mengesahkan tiada lagi aksi mogok berlaku, manakala pemeriksaan lanjut ke premis syarikat terbabit menemui pelanggaran had kerja lebih masa.
KESUMA berkata, pemandu dilaporkan bekerja melebihi 104 jam sebulan, mengakibatkan dua kertas siasatan dibuka.
Dalam operasi berasingan pada 17 Julai, KESUMA turut memeriksa 32 syarikat lain dan membuka 34 kertas siasatan, di mana 30 di bawah Akta Kerja 1955 dan empat di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Kementerian turut mengingatkan bahawa potongan gaji tanpa kebenaran adalah kesalahan berat yang boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kes jika sabit.
Pekerja yang terkesan diseru tampil membuat aduan rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-8886 5192 / 5937 atau emel ke [email protected].








