PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan undang-undang terhadap seorang individu berhubung dakwaan fitnah yang disebarkan melalui media sosial.
Menurut kenyataan rasmi, firma guaman Akberdin & Co yang mewakili beliau telah mengemukakan Notice of Demand terhadap Azuan Mazalan berhubung satu kandungan di Facebook yang didakwa mengaitkan Mohd Na’im dengan tuduhan palsu serta berniat jahat.
Menteri Agama itu menegaskan bahawa tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah membawa implikasi serius terhadap reputasi peribadi beliau sebagai anggota pentadbiran Kerajaan Malaysia, selain mencemarkan integriti institusi Hal Ehwal Agama.
“Tindakan undang-undang ini diambil bagi mempertahankan kebenaran, melindungi reputasi dan menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menekankan bahawa semua dakwaan yang tular adalah palsu serta bertentangan dengan undang-undang dan nilai Islam yang menuntut keadilan serta melarang keras perbuatan tohmahan.
Mohd Na’im berkata, tindakan perundangan itu bukan bertujuan menghukum secara peribadi, sebaliknya untuk memastikan ruang digital tidak disalahgunakan bagi menyebarkan kebencian dan manipulasi persepsi awam.
“Saya menghormati proses undang-undang dan segala tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman,” katanya, sambil menegaskan fokus beliau kekal terhadap amanah sebagai Menteri.
Dalam masa sama, Mohd Na’im menegaskan komitmen beliau untuk terus menumpukan kepada agenda Malaysia MADANI, termasuk pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah.
Beliau turut menyeru masyarakat agar sentiasa berwaspada dan menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya.








