VIETNAM: Kapten pasukan Muay Thai negara, Mohd Wassof Rumijam, mencatat sejarah baharu buat Malaysia apabila meraih pingat emas pertama negara dalam Kejohanan Muaythai Asia IFMA 2025.
Dalam aksi final kategori lelaki elit 54 kilogram (kg), Mohd Wassof menampilkan persembahan mantap untuk menewaskan wakil Kazakhstan, Abdu Rakhman Abishev, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas tertinggi kejohanan berprestij itu.
Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan seluruh kontinjen Malaysia, malah menjadi suntikan semangat kepada generasi baharu atlet tempur untuk mengorak langkah ke pentas dunia.
Malaysia menghantar enam atlet ke kejohanan itu termasuk nama-nama besar seperti Angie Yan Jia Chi dan Asyraf Danial yang juga tampil cemerlang dalam acara masing-masing.
Dengan kemenangan gemilang ini, Mohd Wassof membuka lembaran baharu untuk sukan Muay Thai negara dan meletakkannya di landasan yang tepat untuk kejohanan dunia akan datang seperti World Games dan World Combat Games.