KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 akan bermula pada 13 November ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan, membawa bersama risiko hujan lebat berpanjangan, banjir dan laut bergelora.
Sepanjang tempoh itu, negara dijangka mengalami antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Angin timur laut yang bertiup kencang turut meningkatkan risiko ombak besar serta kenaikan paras air di perairan Laut China Selatan.
“Langkah pencegahan awal amat penting bagi mengurangkan risiko bencana sepanjang musim Monsun,” katanya.
Dalam kenyataan rasmi, Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip menasihatkan orang ramai agar sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana dengan mematuhi segala nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, pemantauan berterusan terhadap keadaan cuaca dan tindakan keselamatan yang sewajarnya adalah kunci untuk melindungi diri serta harta benda.
Dengan musim Monsun yang semakin hampir, MET Malaysia menyeru seluruh rakyat agar lebih peka terhadap perkembangan cuaca dan tidak mengambil ringan sebarang amaran yang dikeluarkan.








