MOTAC Akur Teguran PM, Janji Perbaiki Etika Penganjuran Majlis Rasmi

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan komitmen penuh untuk memperbaiki pelaksanaan program di bawah seliaannya selepas menerima teguran tegas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung insiden penyediaan minuman keras dalam satu majlis makan malam rasmi kerajaan yang tular baru-baru ini.

Dalam kenyataan media pada Selasa, MOTAC menzahirkan rasa kesal atas kekeliruan yang timbul dan berjanji untuk mengambil iktibar agar insiden seumpama itu tidak berulang.

“MOTAC dengan penuh rasa tanggungjawab dan takzim amat mengesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang telah menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

“Kementerian mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang,” menurut kenyataan itu.

MOTAC turut menegaskan bahawa setiap program yang dianjurkan selepas ini akan mematuhi sepenuhnya garis panduan dan etika yang telah ditetapkan, selaras dengan dasar kerajaan.

Sebagai tanda hormat dan penghargaan, kementerian itu turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas teguran dan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa sektor pelancongan, seni dan budaya negara.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas nasihat, teguran membina serta sokongan berterusan terhadap usaha kementerian dalam memperkasa industri pelancongan, seni dan budaya negara.

“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali,” ujarnya.

Sebelum ini, Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau menegaskan bahawa dasar kerajaan adalah jelas dan tegas bahawa minuman keras sama sekali tidak dibenarkan dihidangkan dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa semua pihak termasuk menteri dan pegawai kerajaan, perlu lebih peka dan sensitif terhadap peraturan serta undang-undang sedia ada agar tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap pentadbiran.

Anda Mungkin Berminat