KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyasarkan lima bidang utama dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat serantau melalui pelbagai inisiatif Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) yang bersifat inklusif dan berpaksikan rakyat.
Lima bidang keutamaan yang diumumkan sempena Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-33 di Hotel Sheraton Kuching, Sarawak hari ini ialah seni dan budaya; kesihatan; belia dan sukan; kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan pekerjaan hijau; serta tindakan terhadap perubahan iklim.
Mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Majlis ASCC dan pegawai kanan dari negara anggota ASEAN serta Timor-Leste sebagai pemerhati, turut menyaksikan pelancaran awal Rancangan Strategik Pasca-2025 ASCC dan pengesahan beberapa rancangan strategik lain yang akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei ini di Kuala Lumpur.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pendekatan menyeluruh ini sejajar dengan peranan ASCC sebagai tonggak rakyat dalam membentuk komuniti ASEAN yang sejahtera, bersatu dan berdaya tahan.
“Melalui hubungan rapat antara rakyat dan kepelbagaian budaya, ASEAN berjaya muncul sebagai blok ekonomi kelima terbesar dunia dengan KDNK gabungan sebanyak 3.8 trilion dolar Amerika,” katanya.
Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari menekankan komitmen Sarawak dalam pembangunan mampan, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen, solar dan hidro, yang kini menyumbang kepada Grid Kuasa ASEAN.
Mesyuarat ASCC ke-33 ini merupakan platform penting memperkukuh kerjasama serantau dalam menjayakan agenda pembangunan sosial dan budaya yang menyeluruh menjelang era pasca 2025.