PETALING JAYA: Seorang wanita meninggal dunia akibat tercampak ke bawah Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) selepas terlibat dalam nahas jalan raya, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 6.50 petang.
“Siasatan mendapati mangsa, seorang warga tempatan berumur 30 tahun yang menunggang motosikal, dipercayai hilang kawalan semasa melalui jalan berselekoh dan telah bergesel dengan sebuah kereta di hadapan sebelum tercampak jatuh ke bawah flyover.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Shahrulnizam turut berkata, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan.