KUALA LUMPUR: Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) menegaskan bahawa motosikal bukanlah faktor utama kesesakan di Lembah Klang.
Sebaliknya, jumlah kenderaan persendirian yang tinggi serta sikap pengguna jalan raya lebih mempengaruhi kelancaran trafik.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata, persepsi negatif terhadap motosikal timbul kerana penunggang sering mencelah di antara lorong, namun kesannya hanya bersifat sementara dan lokal.
“Secara teori dan data trafik, motosikal sebenarnya meningkatkan kapasiti lorong kerana saiznya kecil dan boleh bergerak lebih fleksibel berbanding kereta,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, penyelesaian kesesakan tidak boleh hanya menumpukan kepada satu jenis kenderaan.
“Fokus utama harus diberikan kepada pengurangan penggunaan kereta persendirian melalui pilihan mobiliti yang lebih cekap dan praktikal.
“Ini termasuk galakan ‘mode shift’ ke pengangkutan awam yang berkualiti, konsisten dari segi masa perjalanan, liputan luas, selesa dan kos efektif,” katanya.
Jamil turut menambah bahawa peningkatan sambungan ‘first-last mile’ seperti laluan pejalan kaki yang selamat serta kemudahan parkir motosikal di stesen transit adalah langkah penting untuk menyokong penggunaan pengangkutan awam.
Selain itu, beliau mencadangkan pelan jangka pendek seperti pengasingan aliran trafik di lokasi strategik, penyelarasan lampu isyarat, fleksibiliti waktu bekerja serta penyediaan ‘meeting point’ bagi pekerja untuk mengurangkan perjalanan semasa waktu puncak.
“Pihak berkuasa digesa menekankan disiplin pengguna jalan raya termasuk mengelakkan brek mengejut, halangan lorong dan kelewatan di lampu isyarat kerana faktor perilaku pengguna turut memberi impak besar kepada kesesakan,” katanya lagi.








