‘Mowgli Malaysia’ pilih jadi mekanik motosikal

PETALING JAYA: Suatu ketika dahulu pernah tular gambar fotogenik Mohd Syukor Khamis atau dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ bersama kerbau kesayangannya.

Gambar itu dipotretkan oleh jurugambar Malaysia, Abdullah Dean atau lebih dikenali sebagai Dallah Dean, menampilkan susuk seorang kanak-kanak berusia 14 tahun ketika itu yang berbaring di atas seekor kerbau kesayangannya.

Gambar itu bukan sahaja mengundang perhatian di dalam negara, tetapi turut diiktiraf di pentas antarabangsa.

Ia menjadi terkenal selepas terpilih untuk dipamerkan di Austrian Cultural Forum di Itali, dalam himpunan gambar terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.

Selain itu, ia memenangi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards bagi kategori Wajah dan Karektor Menarik.

Tidak berhenti di situ, gambar tersebut turut dinobatkan sebagai pemenang Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia atau Jalanan (Street or People).

Baru-baru ini, Syukor kembali menjadi sorotan apabila GIATMARA Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi gambar terkini ‘Mowgli Malaysia’ itu sebagai salah seorang pelajar di institut tersebut.

“Macam kenal? Mungkinkah dia? Raut wajah ini seperti insan dikenali yang pernah tular satu masa dahulu.

“Kini beliau telah berjaya menamatkan Kursus Teknologi Motosikal selama enam bulan di GIATMARA Hulu Terengganu.

“Beliau telah beraksi di Ekspo TVET@KKDW dalam pertandingan servis motosikal yang diadakan di Melaka tempoh hari.

“Dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ sebelum ini, beliau kelihatan selesa bersama peliharaannya yang kelihatan begitu akrab dan bersahaja.

“Ya benar! Beliau adalah Syukor Khamis ‘The Kampung Boy’ yang pernah tular bersama kerbau kesayangan sejak beliau masih kecil lagi,” katanya.

Tambah GIATMARA, Syukor memilih bidang kemahiran motosikal kerana ingin meneruskan legasi keluarga yang memiliki bengkel motosikal sendiri.

Untuk rekod, beliau pernah membintangi telemovie ‘Budak Kuba’ bersama salah seekor kerbau kesayangannya yang bernama ‘Semek’.

Anda Mungkin Berminat