Oleh: Haikal Tajuddin
PARLIMEN | Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menyelar tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap tidak menitikberatkan penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, isu penghapusan hutang PTPTN itu kerap kali diperjuangkan oleh ahli pemimpin Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu, namun tidak langsung dibentang ke dalam belanjawan tersebut.
“Saya meneliti Belanjawan 2025 dari sudut pendidikan, namun tidak menjumpai pembentangan Menteri Kewangan untuk memberi pendidikan percuma kepada rakyat.
“Namun, tidak tercatat dalam bajet hasrat kerajaan untuk hapuskan hutang PTPTN,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan turut menjanjikan pendidikan percuma dan ingin menarik balik subsidi bagi pelajar yang dianggap ‘maha kaya’, malah tidak diutarakan ke dalam bajet pada tahun ini.
“Menerusi catatan di bawah subsidi yang disediakan kerajaan untuk pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP), dipercayai akan dikaji dan anak-anak maha kaya akan ditarik balik daripada menikmati subsidi ini.
“Begitu juga beberapa program di IPTA, yurannya dikaji bukan untuk dikurangkan tetapi untuk dinaikkan,” katanya.
Oleh hal demikian, beliau mendakwa kerajaan Madani yang dipimpin oleh ahli Parlimen Tambun lebih bersifat ‘berdiam diri’ terhadap isu ini.
“Sebagai pengajaran, jangan berjanji hendak bagi pendidikan percuma dan jangan berjanji nak hapuskan hutang PTPTN keseluruhannya,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2025 yang merupakan belanjawan ketiga yang telah dibentang oleh Kerajaan Madani.
Menerusi belanjawan tersebut, pelbagai peruntukan telah disediakan dengan tujuan memenuhi keperluan dan kehendak Rakyat di Malaysia.