PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen Friends of Ministry (FOM) of Ministry of Health (MOH) menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2026 yang disifatkan sebagai terbesar dalam sejarah kesihatan negara.
Dalam kenyataan bersama pada Isnin, peruntukan RM46.5 bilion atau 11.04 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet kerajaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) membuktikan kesungguhan Perdana Menteri melaksanakan reformasi sistem kesihatan negara.
“Sejak Datuk Seri Anwar mengambil alih tampuk kepimpinan, bajet KKM melonjak daripada RM36 bilion pada 2023 kepada RM46.5 bilion pada 2026, peningkatan sebanyak 29.2 peratus. Ini bukti jelas komitmen beliau terhadap agenda kesihatan rakyat,” menurut kenyataan yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Antara inisiatif utama diumumkan termasuk RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan hospital dan klinik, RM775 juta untuk mengganti peralatan perubatan lapuk serta RM650 juta bagi menaik taraf sambungan internet di fasiliti kesihatan seluruh negara.
Selain itu, seramai 4,500 doktor kontrak dan 935 jururawat akan ditawarkan jawatan tetap, manakala elaun tugas atas panggilan (ETAP) dinaikkan sebanyak 40 peratus bermula 1 Oktober 2025.
Belanjawan itu turut memperuntukkan RM144 juta bagi kerjasama penyumberan luar pesakit ke hospital tentera, universiti dan swasta serta RM60 juta dana bersama kerajaan dan industri untuk memperkenalkan insurans asas mampu milik.
“Langkah-langkah ini akan memperkukuh sistem kesihatan awam dan swasta, seterusnya memastikan rakyat menerima perkhidmatan lebih efisien, moden dan berkualiti,” kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Baca juga: