MP Padang Serai Didakwa Bersubahat Terima Rasuah RM400,000

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM400,000 berkaitan projek penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah, lima tahun lalu.

Tertuduh, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan seorang ahli perniagaan, Amar Asuat Abu Bakar, 41, dalam melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Amar Asuat didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM400,000 daripada Mohd Hassanaim Fauzi sebagai upah membantu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, Kubang Pasu.

Perbuatan itu didakwa berlaku hasil arahan Ahli Parlimen berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) supaya mengeluarkan surat tawaran projek kepada Mohd Hassanaim.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tepi Jalan Medan Pusat 2D, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada jam 5 petang, 23 Jun 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin Ahmad mencadangkan jaminan RM100,000 berserta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah, namun peguam bela, N. Surendran memohon jumlah lebih rendah dengan mengambil kira tanggungan tertuduh.

Mahkamah membenarkan Azman diikat jamin RM75,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, sementara sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat