MP Tebrau kecam MPM, desak mohon maaf kepada Cheah Liek Hou

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, mengecam tindakan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhubung isu kelewatan dan pemotongan ganjaran pingat emas jaguh badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou, selepas kejayaannya di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila MPM didakwa menganjurkan majlis penyampaian hadiah yang tidak teratur dan tanpa kehadiran penerima, seolah-olah hanya untuk menutup kelemahan sendiri.

“Sikap sambil lewa dan tindakan melepaskan tanggungjawab secara terang-terangan ini amat menjijikkan. Ia bukan sahaja mencerminkan kegagalan pentadbiran, malah menunjukkan kemerosotan nilai moral,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, seorang atlet paralimpik yang telah mengharumkan nama negara tidak sepatutnya dipaksa menggunakan media sosial semata-mata untuk memperjuangkan haknya.

“Ini jelas membuktikan integriti serta sistem pengurusan dalam organisasi sukan kita telah runtuh. Tidak wajar MPM menyalahkan penaja yang menarik diri sebagai alasan untuk memotong ganjaran atlet,” katanya.

Jimmy menegaskan isu ini bukan soal kewangan semata-mata, sebaliknya soal nilai dan penghormatan terhadap atlet yang telah berkorban demi negara.

“Kerajaan persekutuan telah menyalurkan sepenuhnya ganjaran selepas temasya berakhir. Masalah ini berpunca daripada kelemahan tadbir urus sebuah badan bebas yang kurang integriti dan pengawasan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan tertinggi MPM tampil membuat permohonan maaf secara terbuka serta memberi penjelasan penuh mengenai pengurusan dana ganjaran berkenaan.

“Jika MPM gagal melakukan reformasi dan memperbaiki kelemahan, rakyat berhak menuntut kepimpinan mereka meletak jawatan. Atlet paralimpik bukan golongan pinggiran, mereka adalah lambang semangat Malaysia yang sebenar dan layak dihormati,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat