MPP PKR gesa tindakan disiplin terhadap ahli burukkan parti

PETALING JAYA: Ketegangan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) meskipun lebih sebulan Pemilihan 2025 berlalu, memerlukan ketegasan segera bagi mengelak perpecahan yang lebih parah.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata demikian melihatkan trend segelintir ahli dan pemimpin terus memburukkan parti dan pimpinan tertinggi sendiri.

“Sepatutnya kita sudah ‘move on’ sejak beberapa minggu lalu, tetapi masih ada yang tidak berhenti menyerang dan mempersendakan parti serta pemimpinnya, terutama di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap podcast terbaharu yang menampilkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama pempengaruh Faizal Rahman, yang menurutnya tidak membawa sebarang manfaat kepada perpaduan parti.

Katanya, Presiden PKR yang juga Perdana Menteri kini dihormati di peringkat antarabangsa, terutamanya oleh pemimpin negara-negara Islam, dan tidak wajar menjadi sasaran kritikan melampau daripada ahli sendiri.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Lembaga Disiplin PKR mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota yang memburukkan parti secara terbuka agar gejala itu tidak terus berulang.

Abang Zulkifli turut mengingatkan bahawa peristiwa Langkah Sheraton berlaku kerana ada pemimpin yang enggan menghormati presiden, lalu mengambil tindakan yang akhirnya merugikan parti.

Baginya, lebih mudah berdepan lawan dari luar berbanding ahli sendiri yang membawa agenda perpecahan. Namun, beliau yakin PKR masih utuh dengan sokongan akar umbi dan kepimpinan pelapis yang mampu membawa parti ke hadapan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat