MPPN Sokong Pindaan Akta Sewa Beli 2026, Perkukuh Hak Pengguna

PETALING JAYA: Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron menyifatkan pindaan tersebut sebagai satu reformasi penting dalam memperkukuh kerangka perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia.

Beliau berkata, pindaan itu bakal memberi manfaat besar kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata, Peraturan 78 serta penggantian kepada Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki.

“Pendekatan baharu ini akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar khususnya bagi pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya.

Selain itu katanya, MPPN turut menyokong usaha pemodenan urusan perjanjian sewa beli dengan penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan elektronik.

Mohd Khair berkata, langkah tersebut dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan melalui pengesahan identiti peminjam.

MPPN juga berpandangan bahawa sekiranya penguatkuasaan akta ini dapat dilaksanakan lebih awal daripada tarikh ditetapkan, ia wajar dipertimbangkan demi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi dengan segera.

Pada masa sama, MPPN mengambil maklum tempoh peralihan yang diberikan kepada pihak industri bagi menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu.

Dalam kenyataan itu, Mohd Khair turut menyentuh perkembangan geopolitik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

“MPPN mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri berkaitan perkembangan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

“Ketidaktentuan geopolitik ini berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna,” katanya.

Beliau menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan beretika, di samping menyeru pengguna agar bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.

Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, ‘Suara Kita, Kuasa Kita’, MPPN menyeru semua pengguna meningkatkan kesedaran terhadap hak-hak mereka serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuh budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab dan beretika.

MPPN komited untuk terus menjadi badan penasihat kepada kerajaan dalam memperkukuh dasar dan perundangan berkaitan kepenggunaan, demi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.

Anda Mungkin Berminat