MELAKA: Malaysia Rail Link (MRL) diminta mempertingkatkan pemantauan terhadap pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini telah mencapai 85 peratus kemajuan bagi memastikan operasi komersialnya dapat dimulakan seperti dijadualkan pada awal tahun 2027.
Permintaan itu disuarakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MRL ke-32 yang berlangsung di Melaka, hari ini.
“Sebarang gangguan seperti pencerobohan kawasan rel oleh pihak tidak bertanggungjawab perlu ditangani segera bagi mengelakkan kelewatan operasi projek,” katanya.
Shamsul Azri menyatakan keyakinan bahawa ECRL akan menjadi simbol kemajuan negara dan pemangkin kepada pembangunan ekonomi di kawasan jajaran.
“Saya yakin projek ECRL ini akan menjadi mercu kebanggaan negara serta pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di sepanjang jajaran dan kawasan sekitarnya.
“Sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan projek mega seperti ECRL memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.
“Ia selari dengan elemen Kesejahteraan dalam prinsip Malaysia MADANI yang menekankan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-nation approach’ bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati bersama,” katanya.
Untuk info, projek ECRL dijangka menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang melalui 20 stesen dengan masa perjalanan hanya empat jam berbanding tujuh jam melalui jalan darat.
Ia juga dijangka menjana RM1.4 trilion kepada ekonomi negara menjelang 2047 serta membuka ribuan peluang pekerjaan melalui program latihan industri PLKI-ECRL.