KEPALA BATAS: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kini secara rasmi dinamakan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghargaan kepada jasa bekas Perdana Menteri kelima itu.
Penamaan baharu itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, penamaan semula institusi berkenaan adalah sebagai pengiktirafan dan penghormatan khas kepada Tun Abdullah yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.
“Saya telah mengarahkan Pengerusi MARA untuk menganjurkan Seminar Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh sebulan ini, melibatkan kalangan intelektual, sejarawan dan ahli profesional, khususnya dalam kalangan pimpinan serta ahli UMNO.
“Seminar ini bertujuan mencungkil dan mendalami pemikiran serta gagasan Pak Lah dalam pelbagai bidang sepanjang kariernya dalam perkhidmatan awam dan politik,” katanya memetik laporan media tempatan.
Hadir sama, anak Allahyarham Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid; dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi bagi mengenang jasa dan sumbangan Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada 14 April lepas, Tun Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
MRSM Kepala Batas terletak di kawasan Parlimen yang pernah diwakili Tun Abdullah selama tujuh penggal dari 1978 hingga 2008.
Baca juga: