PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini telah mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berhubung kesan krisis bekalan global terhadap sektor pembuatan negara.
Pembentangan tersebut memberi gambaran lebih jelas kepada Kerajaan mengenai cabaran semasa yang dihadapi industri, sekali gus memastikan langkah dan dasar yang dirangka benar-benar mengambil kira realiti di lapangan khususnya dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang paling terkesan dengan tekanan kos semasa.
Ketika ini, kerajaan telah memperkukuh sokongan melalui SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) berjumlah RM5 bilion oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan PKS terus berupaya mengekalkan aliran tunai dan meneruskan operasi perniagaan.
Selain itu katanya, sokongan jaminan pembiayaan melalui SJPP berjumlah RM5 bilion turut disediakan bagi membantu sektor yang terkesan.
MTEN turut meneliti cadangan penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang akan dilaksanakan secara seimbang bagi memastikan kawalan ketirisan dapat diperkukuhkan tanpa menjejaskan operasi perniagaan dan rantaian bekalan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mengurus krisis ini dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan, di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Kerajaan akan terus mengurus krisis ini dengan memberi tumpuan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan.
“Di samping mengekang tekanan kenaikan harga serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, libat urus bersama industri dan semua pihak berkepentingan akan terus dipertingkat supaya setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan berpaksikan kepentingan rakyat serta negara.







