MTUC sambut baik gaji minimum RM1,700


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik pengumuman kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dalam Belanjawan 2025.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, menegaskan bahawa langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja di seluruh negara, terutama golongan berpendapatan rendah.

“Kenaikan ini adalah langkah penting dalam memastikan pekerja dapat mengharungi tekanan kos sara hidup yang kian meningkat,” katanya dalam kenyataan.

MTUC yakin gaji minimum baharu ini bukan sekadar membantu pekerja tetapi juga memacu ekonomi negara melalui peningkatan kuasa beli dan perbelanjaan domestik.

Mohd Effendy turut menekankan bahawa pelaksanaan kenaikan ini perlu dibuat dengan segera agar manfaatnya dapat dirasai serta-merta.

“Setiap kelewatan hanya akan menambah beban pekerja,” tambahnya.

MTUC turut menggesa kerajaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mungkin berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan peningkatan kos operasi.

Bantuan dalam bentuk insentif dan latihan boleh mengurangkan impak kenaikan gaji terhadap sektor ini.

“Ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab sosial majikan, tetapi juga penting dalam menyokong kesejahteraan pekerja,” ujarnya.

Dengan sokongan padu daripada kerajaan dan kerjasama majikan, MTUC optimis bahawa langkah ini akan membawa Malaysia ke arah ekonomi yang lebih inklusif dan adil bagi semua.

Anda Mungkin Berminat