CYBERJAYA: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Sepang hari ini atas pertuduhan memuat naik dan menyebarkan kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global melalui media sosial.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tertuduh, Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, didakwa menggunakan akaun Threads miliknya untuk memulakan penghantaran komunikasi palsu secara sedar, yang mengandungi nama serta logo ‘BuletinTV3’.
Mengikut pertuduhan, kandungan itu mendakwa berlaku kenaikan harga petrol dan diesel pada kadar yang tidak selari dengan pengumuman rasmi, kononnya berkuat kuasa 1 April 2026, sebelum dimuat naik pada 31 Mac lalu.
“Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Mahkamah menetapkan 4 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 233(2) akta sama.” Menurut MCMC dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap penyebaran maklumat palsu di platform digital.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan media sosial yang boleh mengelirukan orang ramai, khususnya melibatkan isu sensitif seperti harga bahan api,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Orang ramai turut diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat di media sosial bagi mengelakkan penyebaran berita tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.








