MARANG: Satu insiden kecemasan melibatkan kapal kargo MV KAYO yang berdaftar di bawah Kerajaan St. Kitts & Nevis, apabila ia dilaporkan senget sehingga 15 darjah ke kanan akibat pergerakan muatan bebola tanah liat.
Kejadian berlaku ketika kapal dalam pelayaran dari Lumut, Perak menuju ke Quang Ninh, Vietnam.
Kapal tersebut dilabuhkan kira-kira empat batu nautika dari pantai Jambu Bongkok, Marang, selepas dilaporkan dalam keadaan kecemasan pada 6 Disember lalu.
Dalam suasana genting itu, kesemua 15 anak kapal bertindak pantas meninggalkan kapal menggunakan rakit keselamatan sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kemaman.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan rasmi pada Selasa mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Maklumat awal yang diterima mengesahkan berlaku pergerakan muatan bebola tanah liat (ball clay) sehingga menyebabkan kapal berkenaan senget ke kanan (listing to starboard) sehingga 15 darjah,” kata JLM.
Pasukan penyiasatan khas telah ditubuhkan oleh JLM Wilayah Timur dan siasatan dijalankan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta perundangan antarabangsa yang berkaitan.
Bagi menjamin keselamatan pelayaran, JLM turut mengeluarkan siaran NAVTEX dan Notis kepada Pelaut (NTM) kepada komuniti maritim.
Dalam usaha memastikan tiada risiko lanjut, JLM telah menghubungi pemilik kapal untuk memastikan keadaan kapal terkawal dan tidak menimbulkan ancaman kepada persekitaran laut mahupun laluan perkapalan.
JLM turut menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung insiden ini.
“Segala maklumat sahih hendaklah dirujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan,” tegas kenyataan itu.







