KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebulat suara bersetuju menawarkan semula jawatan presiden kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, susulan pembebasannya daripada semua pertuduhan oleh Mahkamah Rayuan semalam.
Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) sebagai tanda keyakinan terhadap integriti dan kepimpinan Syed Saddiq.
“Tawaran ini dibuat atas dua prinsip iaitu, Syed Saddiq telah membersihkan nama dan integriti beliau melalui proses mahkamah yang telus dan adil.
“Kedua, beliau secara konsisten mempertahankan maruah dan nama baik MUDA sepanjang menjadi Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Syed Saddiq sebelum ini mengosongkan jawatan presiden pada November tahun lalu sebagai tanda tanggungjawab susulan kes mahkamah yang dihadapinya.
Amira menyifatkan tindakan itu sebagai langkah berani dan belum pernah dilakukan mana-mana pemimpin politik yang sedang didakwa, sekali gus memperlihatkan iltizam MUDA dalam menjunjung prinsip integriti.
Tambahnya, walaupun tidak lagi memegang jawatan presiden, Syed Saddiq kekal aktif menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tidak pernah mengabaikan peranan politik khidmat di kawasan.
Semalam, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara serta sebatan berkaitan empat pertuduhan membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang berlaku tujuh tahun lalu.
Baca juga: