Dr Zulkifli ingatkan tentang dosa fitnah, pentingnya bertabayyun

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan mengingatkan umat Islam bahawa menyebarkan fitnah adalah berdosa besar dan menjerumuskan diri ke lembah kehinaan.

Beliau menegaskan kepentingan bertabayyun untuk memastikan setiap maklumat yang diterima dan disebarkan adalah benar dan tidak memudaratkan.

“Ia adalah sebahagian tuntutan Islam untuk menjaga kebenaran, keadilan dan keharmonian dalam masyarakat.

“Selain bertabayyun, Islam juga mengajar umatnya tidak bersangka buruk, mengadu domba dan menyebar fitnah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir persidangan Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) dan lebih menumpukan kepada perjuangan Madani sebagai jahiliah

Dr Zulkifli juga berkata, Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) kerana mengutamakan tugasan rasmi.

“Pada tarikh sidang tersebut (18 dan 19 Disember 2024), PMX (Anwar) dan Kerajaan Malaysia menerima kunjungan hormat Presiden Turkmenistan, TYT Serdar Berdimuhamedow.

“Manakala, dalam mesyuarat dua hala yang turut dihadiri saya sendiri, pimpinan kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya.

Pada persidangan D-8, Anwar telah mewakilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir untuk mewakili Malaysia pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8.

Dr Zambry turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin luar negara termasuk Menteri Luar Iran dan Setiausaha Agung Kumpulan Negara D-8.

Anda Mungkin Berminat