Muhammad Syahir Diiktiraf Sebagai Tekong Terbaik Dunia

PETALING JAYA: Muhammad Syahir Mohd Rosdi, pemain kebangsaan sepak takraw Malaysia, telah dianugerahkan ‘Certificate of Distinguished International Excellence’ oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Pengiktirafan itu menjadikan beliau sebagai ‘The Best Tekong in the World’ iaitu satu gelaran yang bukan sahaja membanggakan tetapi juga menyentuh jiwa rakyat Malaysia.

Anugerah yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian luar biasa Syahir dalam tiga kejohanan utama iaitu Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.

Prestasi beliau yang konsisten dan mengagumkan telah memukau dunia, termasuk media sukan Thailand yang turut mengiktiraf kehebatan anak muda itu.

“Sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang dan persembahan bertaraf antarabangsa yang luar biasa sebagai Tekong Terbaik di Dunia,” kata ISTAF dalam sijil rasmi yang dikeluarkan di Singapura.

Syahir bukan sahaja menunjukkan kehebatan daripada segi teknik dan taktikal tetapi juga ketahanan mental dan semangat juang yang luar biasa.

“Penguasaan teknikalnya, kecerdikan taktikal, ketahanan mental dan keunggulan daya saing.

“Beliau telah mewakili Malaysia dengan penuh maruah dan berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa yang jarang dicapai oleh atlet sepak takraw.

“Sumbangan cemerlang kepada sepak takraw antarabangsa.

“Komitmen terhadap kecemerlangan dan integriti sukan.

“Peranan dalam mengangkat martabat global sepak takraw Malaysia,” kata kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat