‘Muhyiddin Juga Bukan Lagi Calon PM’ – Samsuri

KUALA LUMPUR: Polemik mengenai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) kembali hangat apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyindir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu tersebut.

Dr Samsuri, yang lebih dikenali sebagai ‘Dr Sam’ berkata, perdebatan mengenai calon Perdana Menteri tidak wajar diperbesarkan, namun beliau tidak menahan sindiran terhadap Muhyiddin.

“Yang pasti TSMY juga bukan lagi calon PM,” katanya melalui kenyataan ringkas di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN tidak bermakna beliau secara automatik menjadi calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, isu calon Perdana Menteri adalah perkara berasingan dan perlu diputuskan bersama parti komponen PN.

Kenyataan itu mencetuskan spekulasi politik meluas sehingga Dr Samsuri menerima pelbagai pertanyaan daripada wartawan mengenai kedudukannya dalam hierarki kepimpinan PN.

Menurut Samsuri, polemik tersebut turut menjadi bahan perbincangan dalam kalangan pemerhati politik dan penyokong parti.

Namun, beliau berkata, fokus utama PN ketika ini bukan soal perebutan jawatan tertinggi negara.

“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya.

Pertikaman kenyataan antara dua tokoh penting PN itu sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai siapa bakal diangkat sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu berjaya menawan Putrajaya pada PRU16.

Muhyiddin sebelum ini menegaskan bahawa soal calon Perdana Menteri daripada PN belum dibincangkan secara rasmi bersama parti komponen lain termasuk Pas.

Anda Mungkin Berminat