Muhyiddin Juga Perlu Mohon Maaf Atas Tuduhan Fitnah – Anwar

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin turut perlu memohon maaf atas pelbagai tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap kerajaan pimpinannya.

Menurut Anwar, Ahli Parlimen Pagoh itu berulang kali membuat dakwaan bahawa kerajaan bersikap zalim termasuk tuduhan kononnya tiada peruntukan disalurkan kepada negeri Kelantan.

“Beliau (Muhyiddin) juga perlu memohon maaf kerana banyak tuduhan serta fitnah dilemparkan termasuk mendakwa kerajaan ketika saya memimpin zalim kerana tidak menyalurkan peruntukan kepada Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Isu permohonan maaf ini timbul susulan kenyataan Muhyiddin pada 7 Ogos lalu yang menuntut Anwar menarik balik dakwaan bahawa beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa jika Anwar enggan berbuat demikian, beliau akan membawa usul ke Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Sebagai respons, Anwar menjelaskan bahawa beliau menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan lanjut dan akan menunggu laporan penuh sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita akan lihat kepada laporan MCMC dahulu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat