Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Presiden meskipun tidak lagi memimpin gabungan parti politik itu.
Menerusi kenyataan media pada Jumaat, Muhyiddin memaklumkan bahawa Bersatu akan kekal menjadi rakan gabungan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN, malah kerjasama itu akan terus dipelihara demi kestabilan dan kekuatan komponen.
“Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti.
“Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menuntut seluruh ahli Bersatu untuk kekal istiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti.
“Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,” ujarnya.
Baca juga:








