Muhyiddin kena henti lindungi menantu – Mahfuz

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu henti bermain politik dan tidak lagi melindungi menantunya, Muhammad Adlan Berhan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menggesa Muhyiddin untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap menantunya itu.

Mahfuz berkata, tindakan SPRM pada ketika ini yang memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membatalkan pasport Muhammad Adlan memperlihatkan bahawa siasatan terhadap skandal kewangan berprofil tinggi itu kini berada pada tahap yang serius.

“Tetapi apa yang lebih menyedihkan ialah sikap bekas Perdana Menteri itu sendiri yang seolah-olah berdiam diri dan gagal memberi kerjasama penuh untuk membantu pihak berkuasa mengesan di mana menantunya berada,” katanya pada Sabtu.

Jelas beliau lagi, ianya mustahil apabila Muhyiddin sebagai seorang bapa mentua malah bekas Perdana Menteri tidak mengetahui langsung akan keberadaan menantunya itu.

“Diamnya Muhyiddin bukan tanda tidak tahu tetapi tanda mahu melindungi.

“Jika beliau benar-benar telus dan tidak bersalah, beliau sepatutnya tampil membantu siasatan, bukan bersembunyi di balik alasan politik,” ujarnya.

Katanya, rakyat kini begitu muak dengan dakyah pemimpin yang kononnya kuat melaungkan integriti dan perjuangan Islam, namun apabila ia terkena kepada keluarga sendiri, pemimpin itu hanya diam seribu bahasa dan menutup mata.

“Inilah wajah sebenar politik munafik bercakap soal moral, tapi berkomplot melindungi salah laku orang sendiri,” tegasnya.

Justeru, beliau mendesak agar pihak berkuasa dapat meneruskan tindakan yang sewajarnya tanpa rasa gentar dan jika terbukti Muhyiddin menghalang siasatan mahupun menyembunyikan maklumat penting, maka bekas Perdana Menteri itu harus disiasat di bawah undang-undang yang berkaitan.

“Sudah tiba masanya rakyat melihat bahawa tiada siapa kebal di sisi undang-undang walaupun bekas Perdana Menteri.

“Bila kena orang lain, Muhyiddin lantang cakap soal integriti. Bila kena menantu sendiri terus hilang suara.

“Jangan jadi wira di mimbar, tapi penakut bila depan SPRM,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat