Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, ini berkaitan integriti kerana Muhyiddin didakwa rasuah berhubung isu Jana Wibawa.
“Hari ini pula dia didakwa kerana isu 3R (kaum, agama, raja). Menantunya (Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan) belum menyerah diri dan BERSATU kalah teruk di Nenggiri. Tidak payah guna alasan bahawa dia belum dihukum bersalah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa di Facebook.
Jelasnya, Muhyiddin perlu mencontohi Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Dia letak jawatan bila BN kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ketika itu dia belum didakwa pun.
“Tetapi kenapa dengan tuduhan yang berat Muhyiddin masih mahu kekal jawatan?” soalnya.
Muhyiddin masih berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung projek Jana Wibawa selepas Mahkamah Rayuan pada 28 Februari lalu membatalkan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Terbaharu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.
Ia berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.