Murid Kanser Hidung Jadi Mangsa Buli, Alami Gegaran Otak

JOHOR BAHRU: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun yang juga pesakit kanser hidung mendakwa menjadi mangsa buli hingga mengalami gegaran otak dalam kejadian di sebuah sekolah agama, Februari lalu.

Ibunya, Siti Suhana Misdi, 39, berkata beliau kesal kerana pelaku yang berusia 12 tahun difahamkan tidak dikenakan tindakan sewajarnya dengan alasan masih di bawah umur.

“Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 21 Februari lalu, anak saya dipukul, ditendang, dihentak kepala malah dipaksa berbogel oleh murid Darjah Enam terbabit.

“Anak saya menerima rawatan di sebuah hospital swasta dari 12 hingga 26 Mac dan disahkan mengalami gegaran otak. Saya hanya mengetahui perkara sebenar pada 24 Mac selepas anak perempuan menceritakan kejadian kerana bimbang dengan keadaan adiknya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Taman Universiti pada hari sama anak keempat daripada enam beradik itu keluar dari hospital.

Namun, lebih mengejutkan, anaknya sekali lagi dibuli oleh individu berbeza pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai.

“Saya tidak tahu kenapa anak saya sering menjadi mangsa. Mungkin kerana dia dianggap lemah disebabkan penyakitnya. Anak saya menghidap kanser hidung sejak dua tahun lalu, alhamdulillah kini sudah pulih 80 peratus dan hanya mengalami simptom sederhana selepas rawatan,” katanya sambil memaklumkan laporan polis kedua turut dibuat kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang mengambil tindakan lanjut berhubung aduan tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat