PETALING JAYA: Semua murid yang terlibat dalam kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka telah dibuang sekolah serta-merta, kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang pada Isnin, selepas meneliti laporan dan bukti berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, walaupun dibuang sekolah, semua murid terbabit dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun akan ditempatkan di pusat tahanan atau lokasi khas berasingan daripada sekolah asal.
“Kesemua suspek kini dalam tahanan reman polis dan kebenaran menduduki SPM tidak bermakna mereka terlepas daripada hukuman. Ia tidak menjejaskan proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya pada sidang media khas pada Isnin.
Mohd Azam menjelaskan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga akan memastikan murid terlibat menerima bantuan sewajarnya termasuk rawatan dan sokongan emosi bagi mengurus kesan psikologi akibat insiden tersebut.
Sabtu lalu, empat pelajar lelaki berusia 17 tahun direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka. Kes itu terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video kejadian daripada seorang guru sebelum membuat laporan polis.
Dalam perkembangan lain, Mohd Azam memaklumkan KPM akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah bagi memperkukuh garis panduan sedia ada dalam menangani isu keselamatan dan salah laku di sekolah.
“Jawatankuasa khas ini akan dianggotai wakil UNICEF, SUHAKAM dan agensi berkaitan. Kita sasarkan garis panduan baharu yang lebih komprehensif ini dapat diumumkan menjelang Disember,” katanya.
Baca juga:








