Oleh: Farah Faizal
KAJANG: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengingatkan semua pemandu untuk sentiasa mengutamakan keselamatan semasa memandu dalam keadaan cuaca buruk, terutamanya semasa musim hujan dan ketika jalan licin.
Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, penting bagi semua pengguna jalan raya untuk memahami bahawa memandu dalam keadaan hujan memerlukan perhatian yang lebih tinggi dan sikap berhati-hati yang lebih hemat.
“Bagi penunggang motosikal, disarankan agar berhenti berteduh di kawasan khas sepanjang laluan dan
tidak berhenti di tempat berisiko kemalangan.
“Contohnya, di lebuh raya, gunakan tempat berteduh khas untuk motosikal, pastikan motosikal dibawa masuk sepenuhnya ke dalam kawasan tersebut, dan jangan ditinggalkan di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, meskipun langkah-langkah itu dilihat mudah tetapi boleh menjadi penentu keselamatan nyawa di jalan raya.

Mengulas lanjut, Siti Zaharah berkata, risiko kemalangan jalan raya cenderung meningkat sehingga 14 peratus semasa musim hujan.
Mengikut kajian, faktor-faktor seperti permukaan jalan yang licin, penglihatan yang terhad, dan kehadiran air bertakung di jalan raya boleh menyebaban kenderaan hilang kawalan.
Oleh itu, pemanduan memainkan peranan utama dalam peningkatan risiko kemalangan.