PETALING JAYA: Hujan lebat yang dijangka berterusan sehingga 16 Disember depan semestinya mengakibatkan kekhuatiran terhadap kerosakan harta benda, serta meningkatkan risiko kehilangan nyawa.
Apatah lagi, Prof Dr Anjas Asmara Samsudin berkata, kekuatan angin melebihi 50 kilometer sejam itu sudah pasti membawa jumlah air hujan yang banyak ke kawasan daratan, sekali gus meningkatkan skala serta impak risiko pelbagai bencana.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, fenomena itu juga akan memberi kesan langsung kepada pelbagai sektor termasuk pertanian, perternakan, perikanan dan akuakultur.
Memetik laporan Pelan Induk Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber-Sumber Makanan Negara (KAGUMN) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada 2021, Anjas berkata, hampir 62 peratus kawasan pengeluaran makanan sedia ada di Semenanjung Malaysia terdedah risiko bencana banjir.
Menurutnya, kawasan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan didapati sangat terdedah kepada risiko itu sehingga menjejaskan keluasan tanah seluas 513,495.97 hektar, diikuti aktiviti penternakan (12,280.34 hektar) dan aktiviti perikanan (13,253.76 hektar).

“Hujan lebat yang berterusan menghalang komuniti sektor pertanian dalam menjalankan rutin pertanian mereka secara harian.Ini belum lagi mengambil kira kawasan tanaman, infrastruktur kandang ternakan serta kolam ternakan ikan yang rosak akibat fenomena ini.
“Bagi sektor ternakan terutamanya sektor ruminan, hujan lebat berterusan menyukarkan ternakan untuk keluar meragut, selain kerosakan rumput disebabkan petak ragutan dinaiki air.
“Keadaan yang berlanjutan boleh menimbulkan kesulitan kepada penternak dalam memastikan kecukupan makanan untuk ternakan mereka,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Selasa.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa, luruan monsun yang sedang berlaku ketika ini dijangka berterusan sehingga 16 Disember ini berdasarkan analisis model-model cuaca terkini.
Menurut MetMalaysia, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung serta Sabah sepanjang tempoh berkenaan.
Persediaan awal banjir kepada penternak
Dalam pada itu, Anjas memberi saranan kepada para penternak untuk memindahkan haiwan ternakan ke kawasan lebih tinggi sebagai persediaan awal menghadapi banjir pada masa hadapan.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk mengelakkan haiwan ternakan daripada mati lemas.
Tambahnya, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bertindak secara proaktif dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada penternak yang terkesan.

“Antaranya dengan membantu proses pemindahan ternakan ke kawasan selamat serta menyalurkan bantuan makanan ternakan bagi ladang yang terkesan banjir.
“JPV juga telah menggerakkan Bilik Gerakan Bencana Banjir di kawasan yang sering dilanda musibah ini.
“Para penternak juga diingatkan agar sering cakna dengan informasi-informasi terkini yang dikeluarkan oleh pejabat JPV sama ada di daerah atau di negeri masing-masing, agar proses saluran bantuan semasa bencana banjir dapat diselaras dan dijalankan dengan cekap dan berkesan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anjas berkata, penghasilan makanan seperti rumput peram antara langkah proaktif yang perlu diamalkan penternak ruminan di kawasan yang sering dilanda banjir.
Beliau berkata, sekiranya rumput peram dihasilkan dengan proses yang betul, ia dapat disimpan dalam tempoh bertahun-tahun selama mana tidak digunakan.
Selain itu, jelasnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga telah menyediakan beberapa inisiatif untuk membantu kumpulan sasar sektor pertanian dan agro makanan yang terkesan banjir.
Katanya, ini termasuk melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk komuniti pesawah dan Program Pembangunan Semula Projek Agro Makanan (PPSPA) bagi aktiviti agro makanan serta tanaman padi.

“Menurut rekod bantuan bencana pada tahun 2022, sebanyak RM13.5 juta telah disalurkan dan dimanfaatkan oleh seramai 2,167 pesawah padi yang terjejas melalui inisiatif TBTP.
“Malah, sejumlah RM39.6 juta telah berjaya disalurkan kepada 4,833 kumpulan sasar yang terjejas dibawah inisiatif PPSPA.
“Melalui bantuan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan, ianya diharapkan dapat membantu para penternak yang terkesan dalam meneruskan aktiviti penternakan agar kelangsungan sumber makanan untuk rakyat di negara ini terus terjamin,” ujarnya.
Pada Selasa, media tempatan melaporkan sebanyak 300 ekor lembu serta ratusan kambing, itik dan ayam mati akibat banjir gelombang pertama di tiga buah kampung di Pasir Mas, Kelantan selepas gagal diselamatkan berikutan paras air yang naik terlalu cepat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Serogga, Norhisyam Mustafa dilapor berkata, pada 29 November lalu air dari Sungai Lubok Jong telah melimpah ke dalam kampung sehingga menenggelamkan semua rumah penduduk.
Norhisyam juga dilapor berkata, ketika ini tiada kawasan tinggi yang selamat untuk didiami haiwan ternakan manakalan anggaran jumlah kerugian melebihi RM100,000.
Baca juga: